"Alhamdulillah, terima kasih buat semua akhawat yang sudi luangkan masa dalam perjumpaan online kita kali ni. Insha allah untuk minggu kita jumpa lagi."
Penutup ucapan untuk perjumpaan online kali ni sebelum semua ucapkan terima kasih. Butang merah ditekan dan talian panggilan video diputuskan.
Skrin laptop dipandang sepi. Tak tahu nak rasa macam mana. Katil di sebelah dah macam memanggil-manggil untuk dihamparkan badan yang kepenatan.
Another day. Another week.
Sepatutnya dia rasa terisi. Sekurang-kurangnya setiap minggu ada pengisian yang membasahkan jiwa. Sekurang-kurangnya setiap minggu dia dapat mengambil inpirasi daripada kakak-kakak atau makcik-makcik yang lebih sibuk dan banyak komitmen namun masih mampu meluangkan masa untuk mengisi jiwa. Sepatutnya dia rasa begitu.
Namun, ini tidak. Dia hanya rasa jiwa dan hatinya sudah jauh entah ke mana. Setiap minggu bagai terpaksa datangkan jiwa agar rasa tidak bersalah. Tiap kali ditanya, keberadaan diri macam mana, dia hanya mampu jawab dengan senyuman, mengatakan semuanya ok sahaja walaupun berat dalam jiwanya, mahu mengatakan jiwa dan hatinya kini sedang sakit dan bertarung. Tapi, ah, siapalah yang mampu memahami. Mereka juga punya komitmen dan keluarga yang perlu dijaga. Diri sudah besarkan, mestilah pandai menjaga diri.
Dan akhirnya segala yang terbuku, terus disimpan rapi dalam diri. Dia tahu itu salah dia kerana tidak menjaga amalan diri. Dia tahu, itu salah dia kerana tidak membangun amal dan iman dalam diri. Dia tahu, dalam jalan ini, jiwa itu kena kuat selari dengan amalan.
Tapi dia juga manusia yang punya ciri manusiawi dan ciri manusiawi ini makin perit bila ia sendiri tidak disantuni secara manusiawi.
Siapa kata dia tak cuba kembali, tapi gelojak jiwa yang terus membungkam buat dia rasa tiada seorang pun yang akan memahami.
Dan lebih baiklah, untuk hidup sepi dan sendiri, kerana akhirnya, dia hanya punya diri sendiri.
Another day.
No comments:
Post a Comment