Understand that healing and growing can distance you from people who you once had a bond with, and it can also bring you closer to those who will heal and grow with you. The time in between can be difficult, but there is so much to learn in solitude.
Satu posting yang dikongsi oleh kenalan lalu di timeline FB aku. Sungguh aku rasa tepat memaknai apa yang dilalui masa dulu dan sekarang. Satu perjalanan kembali yang buat aku untuk detach dengan sesiapa pun yang pernah aku rapat pada ketika itu. Pulang aku ke Malaysia, ramai cuba untuk hubungi aku, namun aku hanya sambut sapaan mereka dengan jawapan bersahaja tanpa nada setelah beberapa ketika dan ada juga yang aku hanya biarkan sunyi tanpa berbalas.
Namun, mereka tak pernah putus asa, ada beberapa kali, dihantarkan kepadaku surat dan hadiah sebagai tanda ingatan. Meniupkan aku semangat untuk kembali seperti Amalina yang dahulu, yang kelakar, ceria dan suka mengusik. Pulangnya aku ke Malaysia ibarat menjadi diriku yang baru. Aku tak pernah lupakan mereka, malah aku bertambah sedih bila mengenangkan aku terpaksa melupakan mereka kerana aku tak mahu memori hitam aku di sana kembali menghantui diri. Mengingati mereka adalah seperti mengingati masa-masa yang sepatutnya aku berada di sana, yang mana akhirnya buat aku bertambah sedih dan murung.
Tapi mereka tak pernah putus asa. Ada satu masa, mereka pulang ke Malaysia, mereka lawat aku di sini. Padahal mereka dari negeri yang berbeza. Ada yang dari Terengganu, ada dari Bangi tapi disebabkan mereka tahu aku memerlukan sokongan fizikal, mereka datang juga. Tidur beberapa malam di rumah aku, sambil kami luangkan masa di kawasan berdekatan. Rasa terharu tu masih ada hingga kini. Bagi yang tak dapat lawat aku, mereka wakilkan diri melalui surat, kad, hadiah dan perkara tu cukup buat aku rasa, aku masih diingati.
Tiga tahun berlalu, hanya pada masa-masa terakhir fasa healing aku, aku rasakan perlu untuk aku hubungi mereka semula. Waktu itu juga, aku rasa sudah bersedia untuk berjumpa dengan mereka, menghadiri walimah kenalan yang aku rapat, dan mereka tak pernah lupakan aku. Cuma hanya aku yang menghilangkan diri. Hingga sampai waktu aku ingin kembali, mereka terima dengan hati yang terbuka tanpa banyak persoalan ke mana hilangnya seorang Amalina.
Terima kasih kerana tidak putus asa pada diriku.
Terima kasih kerana masih menerima aku seadanya tanpa banyak persoalan.
Terima kasih kerana tidak terasa bila aku menjauhkan diri.
Sebab itu kawan, aku faham benar rasa itu bila kau cuba hilang.
Pergilah seketika. Kelak bila kau ingin kembali, ketahuilah, aku masih menerima.
No comments:
Post a Comment